Memilih tarikh 26 Februari 2011 sebagai tarikh untuk mereka ijab kabulkan sebagai suami isteri, penyanyi Siti Sarah Raisuddin dan tunangnya, Shuib telah selamat disatukan dalam satu majlis penuh bermakna di sebuah banglo bernama Jeumpa D'Ramo, Bangsar.
Pasangan ini telah dinikahkan oleh Ustaz Mohd Nizar bin Mohd Nazir, Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan dan disaksikan oleh Aidit Alfian Mohd Dom dan Mohd Ashraf bin Md Yusof.
Shuib hadir bersama keluarganya dengan membawa lima buah dulang hantaran yang berupa senaskah Al-Quran dan telekong, barangan penjagaan diri dan wangian, tepak sireh, kek perkahwinan tajaan Blooming cake dan mas kahwin bernilai RM1000 dan sebentuk cincin.
Manakala pihak Siti Sarah membalas dengan lima dulang hantaran iaitu, senaskah Al Quran dan Sejadah, barangan penjagaan diri dan wangian, kek perkahwinan tajaan Blooming cake dan sebentuk cincin.
Ceria menggayakan busana hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat, Siti Sarah turut mendapat khidmat tata rias daripada juru solek popular, Deqsha.
Menganggap ianya umpama mimpi, Shuib turut melahirkan rasa syukur kerana di temukan jodoh bersama Siti Sarah. Malah, dia mengakui agak sukar untuk menambat hati wanita itu sejak mereka bertemu lebih kurang setahun setengah yang lalu.
"Sarah adalah wanita pertama yang membuka hati saya untuk serius dalam perhubungan, dia terlalu istimewa. Sebenarnya sukar untuk saya dapatkannya, setengah tahun berkawan dengan Sarah, dia langsung tidak mengucapkan kata-kata sayang ataupun cinta pada saya, sehingga satu hari saya pernah berhentikan kereta di tepi lebuh raya semata-mata untuk mendapatkan hatinya,"jelas Shuib.
Bukan enggan menerima cinta daripada Shuib, jelas Siti Sarah pula, ucapan cinta dan sayang terlalu berat dan sukar untuk diucapkan, malah kegagalan cinta dahulu mendewasakan dirinya.
"Nak ucap cinta ataupun sayang bukan benda yang ringan, ia satu perasaan yang sangat susah untuk diluahkan. Bila saya cakap saya cintakan seseorang, saya sangat memaksudkannya.
"Saya terima Shuib kerana dia mempunyai kesabaran, kesungguhan dan kejujuran yang jarang saya jumpa selama ini, malah, saya dapat lihat Shuib seorang lelaki yang telus dan kami dalam satu jalan yang sama,"jelas Siti Sarah.
Pasangan ini telah mula mengenali hati budi masing-masing lebih kurang setahun tiga bulan yang lalu. Pertemuan pertama di lokasi penggambaran ini membuka lembaran yang indah untuk kedua-duanya dan mereka bersetuju untuk melangsungkan pertunangan pada 16 November yang lalu.
Merancang untuk berbulan madu di Ireland, Siti Sarah dan Shuib bagaimanapun masih belum dapat tarikh yang sesuai kerana terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar